Monday, November 21, 2016

Pengalaman Umrah Pertama

Pengalaman berada di Madinah sangat seronok kerana cuacanya yang dingin dan nyaman. Setelah beberapa hari di Madinah kami akan bergerak ke Makkah untuk mengerjakan umrah. Kami dikehendaki berpakaian ihram siap-siap dan bertolak dengan menaiki bas. Kami akan bermiqat di Masjid Bir Ali serta niat untuk mengerjakan umrah. Kemudian kami teruskan perjalanan dan berhenti untuk makan di RNR. Nasib tidak menyebelahi kami kerana pada waktu ini RNR ditutup. jadinya pihak agensi tempah makanan dari tempat lain dan dihantar ke RNR tersebut untuk kami makan malam. Keadaan tandas  yang agak sempit dengan ramainya orang menyukarkan Cik Green untuk tolak mak dengan wheelchair. Tapi kita kenala banyak bersabar. Setelah solat jamak Magrib dan Isyak kami teruskan semula perjalanan. 

Sampai di Kota Makkah, setelah pembahagian bilik dan meletakkan barang, kami dikehendaki berkumpul semula di lobi hotel untuk mengerjakan umrah. Pastikan korang hafal nama hotel atau simpan kad hotel di beg sandang yang korang bawak bersama, jadi jika tak ingat jalan balik ke hotel korang boleh tanyakan pada pak arab di sekitar untuk tunjukkan jalan.  Perasaan teruja bila berjalan beramai-ramai dari hotel ke Masjidil Haram. Tak sabar rasanya untuk masuk ke Rumah Allah. Umrah pertama yang juga merupakan umrah wajib ini kami hanya mengikut sahaja mutawwif. Ini bagi mengelakkan kesilapan semasa menunaikan umrah serta mudah untuk bertanya sekiranya ada keraguan dan selesai menunaikan umrah pada jam 4.00 pagi.

Setelah selesai umrah, kami menunggu seketika masuknya waktu Subuh. Di Masjidil Haram tandas terlalu jauh di luar. Jadi pastikan botol wudhu' dibawa bersama bagi memudahkan untuk mengambil wudhu' jika terbatal. Sekiranya telah hampir masuk waktu, polis yang menjaga kawasan Masjidil Haram tidak akan lagi membenarkan untuk masuk ke dalam kawasan masjid. Setiap kali masuk waktu, kena berada di dalam Masjidil Haram selewat-lewatnya atau sekurang-kurangnya 15 minit awal atau korang tidak dapat masuk dan bersolat di luar perkarangan masjid sahaja. Polis dekat sana sangat strict tau. Pastikan juga uncang selipar di bawa bersama-sama untuk korang letakkan selipar atau kasut yang korang pakai. Kalau tak, ia boleh hilang dan korang balik berjalan kaki. Setelah selesai solat juga, akan diadakan solat jenazah. Bukan selepas solat subuh sahaja, tapi pada setiap waktu selepas solat. Hari kedua di sana, jenazah betul-betul dibawa lalu di hadapan kami. Bertuah orang yang dapat dikebumikan di sana. Kebetulan semasa Cik Green di sana juga di bawah agensi yang sama ada juga seorang warga Malaysia yang dikebumikan di sana kerana diserang sakit jantung. Innalillah.Lagi satu, untuk solat subuh tiada doa qunut yang dibaca dekat sana. Sama ada di Madinah mahupun Makkah.

11/2/2016- Pukul 8.00 pagi kami dikehendaki berkumpul untuk bermiqat di Masjid Ja'ranah. Sebelum ke sana kami mengunjungi Jabal Tsur (kalau tak silap) dan Jabal Rahmah terlebih dahulu. Jabal Rahmah merupakan tempat pertemuan Adam dan Hawa. Sepanjang laluan ke Jabal Rahmah juga korang boleh lihat kawasan jemaah haji di Padang Arafah. Setelah berada beberapa ketika di sana kami teruskan perjalanan ke Masjid Ja'ranah. Setelah selesai, solat sunat tahiyatul masjid , solat sunat dhuha dan solat hajat, kami meruskan perjalanan pulang ke Masjidil Haram untuk menunaikan umrah sunat. Kali ni kami tidak lagi mengikut mutawwif dan cuba mengerjakan umrah dengan sendiri mengikut kesesuaian masa sendiri. Kalau tak larat, banyakkan minum air zam-zam yang terdapat di dalam kawasan masjidil haram terutama di sepanjang laluan saie. 

Bergambar bersama ahli kumpulan yang menaiki bas yang sama di Jabal Tsur

 
Pertemuan Adam dan Hawa di Jabal Rahmah

Dari puncak Jabal Rahmah. Banyak bas yang membawa jemaah dekat bawah tu. 
Pastikan ingat no plat bas.

Makanan di hotel disediakan di ruang makan hotel Andalusia dari pagi sampai ke malam. Yang Cik Green tak boleh lupa makan nasi beriani unta pada hari ketiga di hotel. Pertama kali makan unta. Isinya sama dengan lembu cuma rasanya mungkin liat sikit. Korang jugak boleh ambil air dekat dewan makan 24 jam.

12/2/2016 - Hari lahir suami.. Selamat Hari Lahir sang suami. Mengambil berkat hari Jumaat di Bumi Kota Makkah ini, semoga awak sentiasa dilimpahkan rahmat dan dilindungi oleh Nya. Semoga rezeki awak juga sentiasa bertambah serta menjadi orang yang baik-baik dengan orang di sekeliling awak. Saya tahu semua orang senang dan sayang pada awak. Semoga kasih awak pada ibu bapa awak dan saya takkan pernah padam. 

Harini kita akan buat umrah yang ketiga. Alhamdulillah saya berpeluang untuk mengerjakan satu umrah wajib dan juga dua kali umrah sunat. Kali ni kita akan bermiqat di Masjid Tanaim. Kalau tidak silap, berhampiran dengan masjid ini ada kedai menjual susu unta, Cik Green ada beli 2 botol. cadangnya satu untuk diminum dan satu lagi untuk dibawa balik. Sedap juga rasanya susu ni. Kami tak berpeluang untuk ke ladang unta sebab pihak Arab Saudi tidak membenarkan jemaah untuk memasuki kawasan ladang kerana ada wabak penyakit. Dan sayangnya sebotol susu lagi yang Cik Green nak bawa balik bagi keluarga di Malaysia rasa dah basi. Rupanya susu ni tak tahan lama. Setelah pulang dan selesai mengerjakan umrah, kami terus menunggu untuk Solat Jumaat. Pengalaman pertama bagi diri ini mengerjakan Solat Jumaat. Disebabkan selesai umrah dah hampir dengan waktu solat maka kami terus mengambil tempat di ruang saie. Terasa juga letihnya mengerjakan umrah, pastikan sebelum bertolak ke Tanah Suci korang ada stamina yang cukup. Berjalan dan bersenamla pada setiap petang setelah pulang dari kerja tu. 

Agent ada juga menyediakan pakej luar pakej iaitu lawatan ke muzium dan juga mendaki Gua Hira'. Kami mengambil kedua-dua pakej tersebut sebab bukannya selalu dapat datang ke sini. Jadi ini peluang untuk mengenali Bumi Haramain ini. Malam tu,  dalam pukul 9.30 malam, Cik Green, suami dan adik ipar pergi ke Gua Hira'. Sampai di simpang jalan, kami bertukar bas kepada van. Korang jangan terkejut, Pak Arab yang bawak van tu naik ke kaki Gua Hira'  bawa macam roller coaster dengan laju yak amat. Sama jugak masa nak turun. Nasib tak gugur jantung Cik Green.

Pemandangan dari atas bukit Gua Hira'. Nampak keseluruhan Kota Makkah.

13/2/2016 - Pagi ni kami pergi ziarah luar ke Muzium Mekah. Di sini mempamerkan pelbagai artifak sejarah dan pembangunan Kota Makkah dari zaman dahulu. Sebelum masuk ke muzium kami dikehendaki mengisi buku pelawat dan dihadiahkan dengan senaskah al-quran setiap seorang. 

Di dalam muzium

Ziarah ke luar biasanya hanya pada waktu pagi iaitu antara pukul 8.00 pagi sehingga sebelum masuknya waktu Zohor. Selain dari itu, adalah masa untuk berada di masjidil haram menunaikan ibadah. Jika ada masa terluang boleh la menyelusuri kedai-kedai yang menjual pelbagai barangan cenderamata, makanan, pakaian dan sebagainya di sepanjang jalan. Lagi satu orang kata aiskrim dekat sana sedap, jadi Cik Green ada try jugak. Bagi tekak Cik Green biasa-biasa je. haha. lain orang lain seleranya. Ye dak?

Di dalam Masjidil Haram usai solat Isya'. Kaabah di belakang tu. 


Belakang tu Masjidil Haram. Laluan ni la Cik Green lalu hari-hari dari hotel ke Masjidil Haram. Kadang-kadang sempat jugak singgah dekat kedai-kedai sebelah tu. 

Di Makkah, Cik Green juga mengalami demam sekejap. Pastikan panadol, ubat batuk dan ubat selsema dibawa secukupnya. Dekat sana berhabuk sebab pembangunan Kota Makkah dan Masjidil Haram masih belum siap, jadi mudah disinggahi penyakit berbanding di Madinah. Kalau ada penapis mulut juga boleh dipakai. Ubat dekat sana mahal. Cik Green beli strepsil dan banyakkan minum air zam-zam sahaja bagi sembuhkan penyakit batuk. Jangan lupakan jugak vaseline atau krim pelembap. Selain pakai dekat bibir, korang boleh sapukan juga di kaki.  

14/2/2016 - Selamat Ulangtahun Perkahwinan. Tiada apa yang Cik Green harapkan selain dari hubungan perkahwinan ini dikekalkan sehingga ke syurga. Aminn. 

Pagi tu ada taklimat Tawaf Wida' dari pihak agensi. Esokkan dah nak balik. Jadi, harini aktiviti bebas. Alhamdulillah tiada apa-apa kecelakaan atau apa-apa pengalaman buruk sepanjang berada di sana. Sentiasa banyakkan berdoa dan sucikan hati. In Sya allah DIA Maha Melindungi.

15/2/2016 - Pada yang ingin pulang ke tanahair, lakukan tawaf wida'. Tawaf selamat tinggal sebelum meninggalkan bumi Makkah. Dah buat tawaf wida' jangan gatal-gatal nak ambil gambar, berpatah balik ke Masjidil Haram atau bershopping lagi. Tak boleh! Ingat tu. Semoga semua umat Islam diberi peluang untuk sampai ke sini.  

Selamat tinggal Kota Makkah.

Bergerak pulang ke Airport Jeddah. Berhenti solat seketika di Masjid Terapung Laut Merah.

Di Masjid Terapung

Berlatarbelakangkan Laut Merah

16/2/2016 - Selamat sampai ke tanahair jam 10.00 pagi waktu Malaysia. 

Friday, November 18, 2016

Pengalaman di Madinah

Alhamdulillah. Bersyukur sangat-sangat akhirnya Cik Green berjaya juga jejakkan kaki ke Bumi Madinah dan Makkah. Bumi yang setiap Umat Islam sentiasa doakan agar dapat sampai. Tempoh Cik Green mengerjakan umrah adalah selama 9 hari bermula 6 Februari sehingga 15 Februari 2016.Apa yang Cik Green akan cerita ni berdasarkan pengalaman yang Cik Green masih ingat.  

Sepatutnya flight kami jam 9.00 pagi tapi beberapa hari sebelum bertolak agensi bagitahu flight delay ke jam 2.00 petang. Okeylah. Lagipon takde lah terkejar-kejar. Kesian pulak keluarga dari Seremban yang nak datang menghantar.





Masa dekat KLIA 2


6/2/2016- Tepat pukul 1.00 petang, kitorang pon terus masuk. Sempat lagi solat Zuhur sebelum masuk flight. Kalau yang naik flight Air Asia better masuk awal sikit sebab jarak dari balai ketibaan ke dalam tu dalam setengah jam jugak jauhnya. Mana nak check bag lagi. Lagi satu jangan bawak air mineral masuk ye. Tak dibenarkan. Kalau yang dah banyak kali pergi mungkin tahu do and dont's tapi yang pertama kali naik mungkin ada yang masih tidak tahu. 



Pemandangan dari dalam flight. 

Pemandangan dalam flight

Cik Green dan keluarga akan pergi ke Madinah dahulu dan baru ke Makkah. Ada trip yang akan masuk ke Bumi Haramain dulu lepas tu baru ke Madinah. Sebab tu kitorang boleh pakai pakaian biasa lagi. Tapi kalau terus masuk ke Makkah dan mengerjakan umrah, korang dah kena pakai kain ihram. Dalam pukul 8 lebih flight sampai dekat Airport Jeddah. Untuk keluarga yang ada bawak wheelchair, untuk masuk ke dalam flight dia masuk bila-bila takde masalah.Cuma haritu sebab masuk lambat so mak kena tahan dulu dekat pintu flight sampai semua orang masuk baru boleh masuk Tapi bila nak keluar dia akan jadi orang terakhir yang keluar dari flight. Ni based on pengalaman bawa mak mertua. 

Sampai je dekat Aiport Jeddah, korang kena beratur lama sebab imigresen dia strict sikit. Jadinya walaupun banyak lane yang ada dengan banyak flight dari serata dunia memang korang kena menunggu jugak la dekat situ. Belum lagi time nak cari bag. Tu pon makan masa jugak. Rasanya dekat jam 11.00 malam baru kami dapat naik bas untuk ke Madinah. Masa sampai dekat airport ni korang dah kena tahu mana satu mutawwif korang. Sebab apa-apa pon dengan dia jugak yang korang akan berurusan. Pastikan simpan siap-siap nombor telefon diorang. 

Kalau tak silap dekat jam 4.00 pagi jugak kitorang sampai dekat Hotel. 

Ini masa baru sampai dan sesi pembahagian kunci bilik. 

7/2/2016- Keluarga kami dipecahkan pada 2 bilik. Cik Green, mak mertua, adik ipar dan nenek satu bilik manakala 1 bilik lagi ayah mertua dan suami. Jadinya 1 bilik perempuan dan 1 bilik lelaki. Lepastu terus siap-siap sebab dah nak masuk Subuh. Di Madinah dan Makkah azan akan dilaungkan dua kali. Satu untuk peringatan nak masuk waktu dan satu lagi bila dah masuk waktu. 

 Sebab dah lambat, Cik Green dengan nenek je yang pergi ke Masjid Nabawi. Subhanallah. Terpegun Cik Green masuk dalam masjid ni.


Pertama kali sampai kami tak dapat masuk dalam masjid sebab dah penuh. Jadinya Solat Subuh dekat luar je dekat dengan bawah menara pertama masjid dari pintu masuk.

Lepas solat boleh la balik ke bilik untuk sarapan. Hotel Cik Green dengan Masjid Nabawi dalam 200 meter jugak la jarak dia. Dekat luar masjid korang akan tengok macam-macam orang berniaga dan juga peminta sedekah. Orang yang berniaga tu kalau polis datang je habis semua lari. Silap-silap dengan barang sekali diorang tinggal. Tapi diorang tak pernah serik. Setiap kali lepas waktu solat je ada je diorang kat luar pintu masjid tu. Kalau nak beri sedekah pulak tak digalakkan beri pada wanita-wanita yang ada dekat luar pintu masjid tu.  Bukan apa, kalau korang beri sorang nanti tiba-tiba ada ramai yang akan kerumun. Kan dah seram tu. Elok korang beri sedekah pada pakcik pakistan yang bersihkan kawasan masjid, wanita indonesia yang jaga dekat dalam masjid tu atau sedekahkan Al-Quran dekat masjid. Oh sebelum lupa, Masjid Nabawi dan Masjidil Haram tak terima sebarang-sebarang Al-Quran ye. Quran yang ada dekat situ semuanya dari kilang Quran. Takdela pulak nampak Quran warna-warni macam yang ada dekat sini. 


Tentatif untuk kumpulan kami.

Raudhah

Ikutkan pukul 8.00 pagi kena turun berkumpul. Tapi kitorang turun lambat sikit. Dekat pukul 8.05 baru dekat lobi. Cari semua orang dah takde. Tanya ustaz rupanya semua dah pergi dengan ustazah. Baru je kejap. Jadinya kitorang berempat pon terus pergi sebab nak kejar ustazah dan ahli group lain. Tapi tak jumpa diorang semua. Jadinya decide untuk  masuk ke Raudhah sendiri. Dekat dalam masjid ramai yang tengah tunggu turn untuk masuk. Tapi tak nampak yang dari Malaysia. Mula-mula kitorang nak terus masuk tapi tiba-tiba polis wanita arab dekat sana tahan. Jadinya kena tunggu dulu. Dia kumpulkan orang ikut negara. Lepastu kitorang dapat juga masuk dalam. Sebab bawa mak dengan wheelchair kitorang dapat laluan untuk wheelchair. Setelah lama beratur, kitorang sampai juga dekat karpet hijau (Kawasan Raudhah). Masa beratur dan menunggu tu korang banyak-banyakkanla berzikir dan berselawat. Alhamdulillah sangat dipermudahkan untuk masuk ke kawasan Raudhah. 

Ramai orang tengah beratur di laluan wheelchair. Tak tahu macam mana pulak dekat laluan biasa. 

Dekat sini korang tak boleh lama-lama. Dapat buat solat sunat lepas tu berilah peluang dekat orang lain. Semoga masing-masing dapat diberikan peluang. Makam Rasulullah dan para sahabat di sebalik penghadang kami jek. Subhanallah. Walaupun tak sempat berada pada zaman Nabi akhirnya sampai juga ke tapak rumah nabi. Kawasan Raudhah adalah merupakan sebahagian daripada rumah Nabi Muhammad S.A.W. Ini merupakan juga antara tempat mustajab berdoa. 

Ni masa keluar dari kawasan Raudhah


Masjid Quba, Ladang Kurma dan Jabal Uhud

Hari kedua pula kami ke Masjid Quba. Dekat sini korang boleh solat sunat dan solat hajat. Ini merupakan masjid pertama yang dibina oleh Rasulullah. 

Dalam bas untuk perjalanan keluar

Pemandangan di sekitar Bandar Madinah

Masjid Quba'

Bas yang membawa kumpulan kami. Kena amik gambar atau no plat bas. 
Nanti takut tak jumpa bas sebab banyak sangat bas dekat sini. 

Selepas tu kami ke Ladang Kurma. Adalah beberapa barang yang beli dekat sini untuk dibawa balik. Tapi tak banyak pon. Sebab orang kata dekat sini agak mahal harganya berbanding dekat pasar. Tapi air teh dia free. Korang jangan risau. Dekat Madinah dan Makkah ramai orang Arab yang petah cakap melayu. Korang boleh tawar-menawar dengan diorang.

Seronok pulak si suami duk merasa tester dia

Di ladang kurma


Kemudian kami teruskan pula perjalanan ke Jabal Uhud atau dikenali sebagai Bukit Uhud. Di sini juga terletaknya makam Saiyyidina Hamzah iaitu bapa saudara Nabi serta makam para syuhada yang lain. Disunatkan untuk berdoa juga di makam ini. Setelah itu, kami pon memanjat Bukit Memanah. 

Bukit Memanah adalah bukit di hadapan Jabal Uhud yang menempatkan pasukan memanah kaum muslimin semasa Perang Uhud. Perang yang sebenarnya boleh memberi kemenangan kepada kaum muslimin. Tetapi disebabkan pengosongan bukit memanah yang mulanya dianggap telah menang ketika itu, pasukan kafir telah berpatah balik dan menyerang semula sehingga menyebabkan kekalahan kaum muslimin dan terkorbannya bapa saudara nabi, Saiyyidina Hamzah Abdul Mutalib. 

Bukit di hadapan tu la Jabal Uhud

Akhir sekali kami teruskan perjalanan ke Pasar Kurma. Banyak pasar dekat Pekan Madinah. Ikutkan sebenarnya dekat jek dengan hotel. Dekat sini boleh beli untuk buah tangan pada saudara-mara. Kalau tak sempat nak beli, dekat sekitar Masjid Nabawi pon banyak orang yang menjual. 

8 dan 9/2/2016 - Hari ketiga dan keempat kami banyak berada di Masjid Nabawi dan juga program bersama agent di hotel. Digalakkan banyak bersolat di Masjid dari di bilik-bilik hotel. Korang bukannya selalu pon ada dekat sini. Jangan lepaskan peluang untuk kumpul pahala banyak-banyak.

Banyak hotel di sekitar Masjid Nabawi

10/2/106- Hari kelima kami bergerak ke Bumi Makkah bagi menunaikan umrah dengan berpakaian ihram.